I Love My Followers

Blog ini adalah blog peribadi yang berkisar tentang kehidupan seperti usaha untuk hamil, kehamilan, kelahiran, penjagaan semasa pantang, penjagaan dan pendidikan anak, kesihatan dan kecantikan, keibubapaan dan perkahwinan.
Topik-topik lain juga ada mengikut keselesaan penulis.

Tuesday, December 8, 2015

Pemergian Allahyarham Pak Yus Jambu - Ada Kesannya Di Hatiku


30 November 2015 (Isnin)

Awal pagi saya dikejutkan dengan berita kembalinya pelawak tanahair iaitu Yus (kumpulan Jambu) ke rahmatullah. Berita ini diberitahu oleh suami saya selepas dia menerima banyak mesej yang sama daripada group whatsappnya.

Selepas menyiapkan apa yang patut, saya terus melayari internet. Tak boleh nak buat kerja lain dah. Dalam hati tertanya-tanya, "Betul ke ni? Betul ke ni?" 

Buka facebook, memang cepat dapat semua berita. Buka link ke blog-blog pun mengkhabarkan berita yang sama. Terkejutnya saya Ya Allah. Pak Yus Jambu sudah meninggal dunia!

Daripada pembacaan saya, arwah mengadakan persembahan terakhir di final Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tak pasti sebelum / semasa / selepas mengadakan persembahan, ada 2 orang peminatnya yang bergambar dengan arwah dan yang paling tak disangka, seolah-olah muncul kalimah Allah (Alif Lam Lam Ha) di dahi arwah, dalam keadaan wajahnya yang pucat dan keletihan.

Selesai persembahan, arwah dikatakan berehat di dalam kereta. Dalam perjalanan pulang ke rumah bersama beberapa orang rakannya, arwah meminta penghawa dingin kereta dimatikan.

Sejurus selepas itu, arwah dikatakan tiba-tiba mengalami sesak nafas dan terus dikejarkan ke Hospital Selayang. Tidak lama selepas itu, pihak hospital mengesahkan arwah telah meninggal dunia lebih kurang jam 12 am ++ Ahad malam Isnin akibat sesak nafas.

Allahurobbi!!! Rasa macam tak percaya tapi itulah kebenarannya. Orang yang menghiburkan saya sekeluarga di pentas Maharaja Lawak Mega kini telah pergi untuk selama-lamanya.

Walaupun terkejut, tapi saya masih mampu bertenang sehinggalah saya terlihat gambar arwah yang telah siap dikafankan (kain di bahagian muka dibuka untuk tatapan terakhir).

Pada masa itulah saya betul-betul sedar bahawa, inilah Allahyarham Pak Yus Jambu, perginya dia takkan mungkin kembali lagi. Wajahnya tenang seakan-akan tersenyum. Wallahualam.

Pada masa inilah juga, air mata saya jatuh berjuraian penuh perasaan. Tak tahu kenapa, saya ini bukanlah saudara dengan arwah, tak pernah jumpa pun, tapi rasa kehilangan. Tak tahu kenapa, dan tidak lama kemudian akhirnya tersebarlah segala cerita-cerita kesusahan hidup arwah dan segala sedekah serta kebaikan yang dilakukannya semasa arwah masih hidup.

Siapalah menyangka, walaupun terlibat dalam industri seni, arwah seorang yang menjaga solatnya (ini daripada pembacaan saya di FB dan blog). Pun juga seorang yang kuat bersedekah, selalu bantu orang lain yang dalam kesusahan, seorang yang sangat penyayang dan sentiasa ikhlas.

Siapalah sangka begitu sebenarnya peribadi arwah sepanjang hidupnya, tidak pernah dicanang-canang segala sedekah dan kebaikan, semuanya tersimpan rapi ibarat rahsia agung. Hanyalah apabila arwah meninggal dunia, barulah Allah buka semuanya itu, mungkin untuk menjadi sebagai iktibar kepada kita ini yang masih hidup. Wallahualam.

Juga melalui foto-foto di internet, saya melihat begitu ramai insan yang menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan. Teringat saya sewaktu Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia dahulu. Ibarat selautan manusia yang menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan. Situasi yang ibarat sama sewaktu pengkebumian Allahyarham Pak Yus Jambu kini.

Saya ada baca di mana tapi terlupa, kata orang itu, "jika benar di dahinya tertera kalimah Allah hanya beberapa minit / jam sebelum dia meninggal dunia, percayalah dia bukan biasa-biasa orangnya". Wallahualam. Pasti ini berkait rapat dengan amalannya di dunia yang kita pun tidak tahu, hanya Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui.

Malam pertama Allahyarham Pak Yus Jambu di alam kubur, saya teringat akan pesan seseorang kepada saya beberapa tahun dulu. Katanya "jika ada seseorang yang meninggal dunia, pada malam pertamanya di alam kubur, kita yang hidup ini lakukanlah Solat Sunat Hadiah untuknya, kerana Allah akan turunkan 70,000 malaikat untuk menerangi kuburnya sehinggalah ke hari kiamat kelak. Wallahualam".

Namun begitu, saya tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana sibuk.

Malam kedua itulah baru dapat saya melakukannya. Tak pastilah Allah terima atau tak atau bagaimana, tapi Allah lebih tahu apa yang ada di dalam hati saya.

Sesudah solat, dengan tiba-tibanya saya rasa sayu dan sedih yang teramat sangat. Rasa kehilangan. Saya pun tak faham kenapa saya rasa seperti ini, tapi mungkinlah kerana arwah itu orangnya baik-baik, maka sebab itulah saya rasa kehilangan.

Sewaktu berdoa, saya diselubungi perasaan sedih yang teramat sangat. Sangat-sangat sehingga tak mampu nak menahan airmata lagi. Banyak yang saya doakan untuk Allahyarham Pak Yus Jambu, moga-moga Allah kasihan kepada saya dan makbulkan doa saya.


4 Disember 2015 (Jumaat)

Rancangan Juara Parodi.

Saya tak follow sangat rancangan ini. Cuma malam ini katanya diadakan rancangan khas / tribute untuk Allahyarham Pak Yus Jambu. Oleh kerana saya meminati lawak dan persembahan Allahyarham yang menghiburkan, saya luangkan masa menonton rancangan ini.

Dapat saya simpulkan bahawa, Allahyarham Pak Yus Jambu ini adalah seorang yang sangat baik (komen daripada sahabat-sahabat beliau). Hidup susah, sebatang kara namun tetap ingat kepada orang yang lebih susah.

Biarpun kemudiannya Allah beri kesenangan kepadanya, arwah tetap ingat kepada orang miskin dan yang lebih susah daripadanya. Caranya adalah dengan bersedekah dan bersedekah.


*****

Sungguh, pemergian Allahyarham Pak Yus Jambu ini ibarat ada kesannya yang sangat mendalam di hati saya. Kesan ini membuatkan saya kembali melihat semula diri sendiri, menilai segala amalan, memperbetulkan niat dan ingin mempersiapkan diri dengan sebaik-baik dan sebanyak-banyak bekalan untuk dibawa ke sana nanti, in shaa Allah.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham Pak Yus Jambu (1976-2015).

Al-Fatihah...

2 comments:

Farah Waheda Wahid said...

Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman...

Normi Nieza said...

al-fatihah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Like Page Superb Vitamin For Life :)

Hubungi Saya

Name

Email *

Message *