I Love My Followers

Blog ini adalah blog peribadi yang berkisar tentang kehidupan seperti usaha untuk hamil, kehamilan, kelahiran, penjagaan semasa pantang, penjagaan dan pendidikan anak, kesihatan dan kecantikan, keibubapaan dan perkahwinan.
Topik-topik lain juga ada mengikut keselesaan penulis.

Wednesday, May 28, 2014

Apabila Suami Dan Ibu Memberikan Restu

18 Mei 2014 adalah tarikh yang akan terpahat di ingatan saya.

Saya merupakan seorang graduan yang mula bekerja sebaik sahaja tamat pengajian. Tidak pernah ada satu masa pun dalam kehidupan saya, di mana saya menganggur tanpa kerja. Alhamdulillah. Bekerja sudah menjadi sebati dalam diri saya sehinggakan suami menggelar saya seorang yang workaholic (kuat bekerja).


Sejak melahirkan anak yang sulung, saya masih terus bekerja seperti biasa. Namun selepas melahirkan anak kedua, saya merasakan ada sesuatu yang 'hilang' dalam kehidupan saya. Sesuatu itu adalah masa bersama anak-anak. Kehidupan kerjaya semakin sibuk dan adakalanya membuatkan saya rasa tertekan.

Saya mahu lebih banyak masa untuk suami dan anak-anak, saya mahu bekerja di rumah dan saya mahu menggunakan kemahiran dan kepakaran yang saya miliki untuk menjana pendapatan. Saya mahu menjadi seorang WAHM (working at home mom).

Saya utarakan niat saya kepada suami. Alhamdulillah, beliau memberi restu dan sokongan yang tidak berbelah bagi. Namun saya masih lagi rasa ada halangan kerana ibu saya belum mengetahui perancangan saya ini. Walaupun saya sudah berkahwin, saya masih merasai ikatan yang sungguh kuat dengan ibu saya. Saya rasa perlu berbincang juga dengan beliau tapi, saya tak punya kekuatan. Kerana ibu saya adalah seorang wanita bekerja dan saya tak pasti apakah beliau akan menyokong dan memberikan restu untuk saya.

Namun pada tarikh 18 Mei 2014 itu, saya meluangkan masa berdua dengan ibu saya selama beberapa jam. Banyak perkara yang kami bincangkan, termasuklah juga soal WAHM ini. Tanpa saya sangka, ibu saya memberikan restu dan keizinan untuk saya menjadi seorang WAHM, dengan syarat saya perlu membuat persediaan dan persiapan yang rapi dari semua aspek, sebelum menghantar surat perletakan jawatan yang pastinya bukan dalam masa terdekat ini. Ibu saya mahu saya mengusahakan sesuatu dan menjana pendapatan dengan bakat, kebolehan, kemahiran dan kepakaran yang saya miliki. Ibu saya menyokong keinginan dan cita-cita saya untuk menjadi seorang ibu yang bekerja di rumah sambil menjaga anak-anak saya sendiri.

Ya Allah! Allahuakbar!

Saya terus mencium tangan ibu saya dan memeluknya. Terasa laluan yang selama ini gelap, terbuka luas dengan terangnya. Saya tidak perlu berselindung lagi, saya tidak perlu buat kerja "underground" lagi. Saya kini boleh menyatakan dengan jelas apa yang saya mahukan demi mencapai cita-cita saya. Ibu saya menyarankan saya menghadiri kursus-kursus keusahawan, motivasi, perniagaan, mengurus akaun dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

Yang lebih menggembirakan saya, suami dan ibu saya kini memahami cita-cita dan menyokong setiap usaha saya. Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, saya mahu bekerja di rumah, saya ingin bekerja di rumah. Saya tidak mahu terlepas setiap saat melihat perkembangan anak-anak saya. Saya bersyukur kerana suami dan ibu saya memberikan restu.

Saya berdoa semoga Allah makbulkan doa saya untuk menjadi WAHM. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Like Page Superb Vitamin For Life :)

Like Page Love Natuwrel :)

Hubungi Saya

Name

Email *

Message *