I Love My Followers

Blog ini adalah blog peribadi yang berkisar tentang kehidupan seperti usaha untuk hamil, kehamilan, kelahiran, penjagaan semasa pantang, penjagaan dan pendidikan anak, kesihatan dan kecantikan, keibubapaan dan perkahwinan.
Topik-topik lain juga ada mengikut keselesaan penulis.

Thursday, February 28, 2013

Roadshow HUGGIES DRY PANTS - Tukarlah Untuk Lebih Senang Dipakai


Pengumuman untuk ibu-ibu dan bapak-bapak!! :)


Terkini ada satu roadshow best punya yang sedang berlangsung di Mydin USJ iaitu HUGGIES DRY PANTS - Tukarlah Untuk Lebih Senang Dipakai atau dalam bahasa Inggerisnya adalah "Change for Better Convenience". 


Kenapa anda harus pergi ke roadshow ini? Sebabnya kat sini anda akan dapat menyaksikan sendiri betapa pantas dan mudahnya untuk menukar lampin dengan Huggies Dry Pants. Tau-tau jelah kan, time kita nak ganti lampin anak yang sedang aktif, kadang-kadang kita pun sama naik merangkak dan berlari memecahkan lemak nak kejar anak pakai lampin. Tu belum campur lagi time nak lekatkan pelekat kat lampin tu. Macam saya sendiri, time nak lekatkan pelekat kat lampin, time tu lah Haziq boleh pusing kiri pusing kanan sampai ambil masa hanya untuk pakaikan lampin. Mesti anda ibu-ibu biasa sangat dengan situasi yang saya cakap ni kan. Hehehehe..



Jadinya, worry no more!! Dengan adanya Huggies Dry Pants ni, masalah pasti selesai! Hanya dengan 3 langkah iaitu Koyak, Salin, Lepas, kita sebagai ibu-ibu tak perlu lagi merangkak-rangkak atau berlari-lari mengejar anak untuk pakaikan lampin. Mula-mula, kita koyakkan kat bahagian tepi lampin seluar tu, pastu kita pakaikan lampin seluar yang baru, pastu lepas!! Lepaskan anak kita untuk pergi merangkak atau berlari dan bermain seperti biasa. Cuba tengok gambar kat bawah ni untuk lebih jelas.


Mudah kan! Jadinya, jom kita ramai-ramai pergi ke Roadshow Huggies Dry Pants - Tukarlah Untuk Lebih Senang Dipakai dan lihat sendiri betapa senangnya kerja kita bila nak pakaikan lampin anak selepas ini. Maklumat lanjut seperti di bawah :


Acara : 
Huggies Dry Pants - Tukarlah Untuk Lebih Senang Dipakai

Tarikh : 
25 Februari 2013 (Isnin) sehingga 3 Mac 2013 (Ahad)

Tempat :
Ruang Legar, Mydin USJ

Pengumuman Istimewa : 
Sesi Cabaran Tukar Lampin 30 Saat pada jam 10.30 pagi, 2.00 petang dan 8.00 malam. Apa yang anda perlu buat? Hanya tukarkan lampin Huggies Dry Pants si manja anda dalam masa 30 saat atau kurang untuk memenangi HADIAH MENARIK!!!

Aktiviti :
1) Hiburan untuk seisi keluarga dengan persembahan, promosi hebat, hadiah percuma, permainan, pertunjukan silap mata dan pelbagai aktiviti yang menarik.

2) Singgah di booth Huggies untuk mendapatkan sampel percuma Huggies Dry Pants dan rebut peluang untuk memenangi pelbagai hadiah.

3) Sesi Cabaran Tukar Lampin 30 saat Huggies Dry Pants di bahagian ruang legar Mydin USJ.

Acara Penutup : 
3 Mac 2013 (Ahad) dari jam 8.00 malam hingga 9.00 malam


Jangan lepaskan peluang bersama keluarga tersayang untuk menyertai acara ini yang penuh dengan keseronokan!!!



Mengenai Huggies Dry Pants

Huggies Dry Pants ialah pilihan yang mudah digunakan untuk bayi dan kanak-kanak yang aktif. Amat mudah untuk menukar lampin iaitu hanya dengan koyak, salin dan lepas! Peregang lembut di bahagian tepi lampin memberikan lebih keselesaan dan membantu menghalang kesan merah walaupun bayi anda sedang bergerak. Juga dilengkapi dengan sistem pengunci yang berupaya untuk menghalang kebocoran. Tambahan pula, Huggies adalah jenama lampin bayi pakai buang pertama di Malaysia yang terbukti secara klinikal dapat membantu menghalang ruang lampin.


Mengenai Huggies® 

Huggies® ialah salah satu jenama penjagaan bayi dan kanak-kanak terkemuka di Malaysia. Ia membekalkan pelbagai rangkaian lampin pakai buang dan lampin seluar kepada ibu dan bayi untuk membantu mengekalkan kulit yang sihat dan membuatkan bayi sentiasa gembira. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.huggies.com.my atau www.facebook.com/Huggies.Malaysia.

Monday, February 18, 2013

Apa Yang Berlaku Selepas Bersalin?

16 January 2013 (Rabu)


Saya dengar ramai orang panggil nama saya berulang kali.

"Siti, Siti, Siti, bangun, jangan tido. Tengok baby awak ni.."


Tido? Saya tak tido, saya cuma pejam mata sebab saya terlalu letih. Tapi saya paksa juga untuk buka mata dalam keadaan kepeningan tu sebab saya nak sangat rangkul dan dakap baby saya. Bila saya buka mata, ada satu nurse kat belah kiri saya, dia tunjuk baby kat saya. So fresh dalam keadaan betul-betul baru dilahirkan dan masih belum dibersihkan. Saya tersenyum, ini baby saya.


"Siti, tengok ye, baby awak lelaki ke perempuan?" Nurse tu halakan private part baby ke muka saya. Rapat sungguh. Saya nak je cakap, nurse, saya ni rabun tak nampak tulisan, kalau orang saya still nampak, tak payahla hala ke muka saya dekat-dekat.


"Ye, saya nampak. Baby girl. Baby saya baby girl.." Saya bersuara lemah.


"Ok bagus"


Lepas tu ada sorang pulak nurse belah kanan, suruh saya sign surat ape entah. Yang saya nampak, jantina anak dan tempat untuk saya sign. Pelik betul, dulu masa lahirkan Haziq takde pulak sign-sign lepas bersalin ni. Peraturan baru agaknya. Saya pulak, dalam keadaan letih campur menggigil campur pening, sign jugakla surat tu. Sign pun mengggigil-gigil jugak sebab dah lupa sign sendiri. Hehehe..


Lepas tu, nurse bawa baby keluar. Saya pelik, kenapa nurse tak letak baby kat dada saya macam  diorg buat lepas saya lahirkan Haziq dulu? Saya nak skin to skin touch dengan baby saya. Saya nak rasa kehangatan baby saya, saya nak cium dia puas-puas. Tapi saya tak nampak kat mana baby saya.


"Nurse, baby saya kat mana?"

"Kita tengah bersihkan dia, tapi maaf tak dapat bagi kat Siti sebab kita kena bawa dia masuk wad"

"Kenapa?" (Dalam hati saya dah risau, tadi takut pasal kena czer, sekarang apa masalah dengan baby saya?)

"Siti dah overdue kan, macam doktor cakap, baby dah berak kat dalam, jadi kita nak monitor jantung dan paru-paru baby, sama ada dia ada tertelan air yang dah mengandungi najis"

"Ohhh...ok"


Saya terdiam, melayan fikiran sendiri. Suami saya dah keluar daripada labour room, saya agak dia tengah azan dan iqamatkan baby.


Masih lagi memejamkan mata, saya dengar bunyi kecoh-kecoh pulak. Haihh, apa lagi ni, saya dah bersalin, dah selesai keje saya, apa lagi yang bising ni. Saya buka mata, saya nampak doktor lelaki yang sambut kelahiran tadi tu cakap apa entah dengan nurse-nurse. Pastu nurse-nurse pergi kat saya macam tepuk-tepuk sikit kat rahim saya ni. Bergoyang-goyang saya dibuatnya. Sakit pun ye jugak. Laaa, ni kenapa pulak ni? Sungguh saya tak faham.


"Doktor, kenapa, ada masalah ke?"

"Siti, uri awak kat dalam lagi ni. Belum keluar, kami kena keluarkan uri tu".

"Eh, bukan ke dia akan keluar sendiri" (Boleh pulak cakap macam tu kat doktor ek. Hehehe..)

"Ye, memang sepatutnya dia akan keluar sendiri. Tapi yang uri awak ni dia masih tak keluar. Kita tak boleh tunggu sampai lama sangat"

Laa, ape lagi lah ni. Saya betul-betul kene menyabarkan diri saya. Kenapa uri ni tak keluar pulak?


Dalam keadaan tu, saya tengok ada nurse bagi injection kat lengan kiri saya. Adoi, inject lagi. Uwaaa...sakit. Lepas tu, diorang continue tepuk-tepuk dan goyang-goyangkan rahim saya. Saya cakap saya sakit, tapi macam takde sapa peduli. Saya sempat fikir, alah tahan jela sakit ni, yang penting uri tu keluar, setel masalah.


Tak lama pastu, uri keluar. Alhamdulillah. Dan bermulalah proses jahit menjahit di bawah sana. Memang sakit, mulut saya ni tak berhenti merintih. Tapi ada satu masa tu saya terdiam, senyap sendiri, mata pejam. Saya sedar doktor tengah jahit tapi saya rasa nak tertido, rasa macam mengantuk sangat. Mamai-mamai gitu. Saya sempat dengar doktor tu cakap, "baguslah patient ni, die boleh tidur masa tengah jahit, jadi boleh cepat siap lah keje ni".


Semua urusan selesai jam 4.35 am. Saya dibawa ke wad, baby saya pula terus dibawa ke wad kanak-kanak. Pada masa ni, saya dah sedar sikit, tapi masih rasa letih. Saya rasa macam perut ni dah masuk angin pulak, sebab last makan pukul 7.30 pm malam sebelumnya, dan saya terus tak makan apa-apa selepas tu. Saya rasa nak muntah, nurse bagi plastik untuk muntah, tapi bila rasa nak muntah tu, saya rasa sakit di bahagian rahim ni. Jadi saya tahan jela taknak muntah walhal kat tekak ni memang dah rasa sangat pun.


Dalam labour room yang sejuk ber air cond tu, saya boleh berpeluh kat dahi sebab rasa nak muntah. Saya tau, saya mesti keluarkan juga isi perut ni baru saya rasa lega. Last-last saya mengiring ke kanan sikit dan terus muntahkan semuanya. Legaaaaaaa!!! Baru rasa ringan sikit kepala ni.


Seterusnya saya dibawa ke wad, diusung sekali dengan katil tu. Dalam perjalanan, saya nampak Mama dan Abah, kedua-duanya tersenyum dan memanggil nama saya. Tapi saya terlalu letih, saya tak mampu nak balas senyuman mereka. Hairan betul, dulu masa bersalinkan Haziq, saya takdelah letih sampai macam ni sekali.


Saya ditempatkan di wad 4C. Saya terus minta tolong Suami buatkan milo panas, saya dah lapar sangat. Tengah nak minum tu, datang 2 orang nurse cakap saya kena pindah ke wad 4B pulak. Hadui, letih nya nak beralih-alih tilam ni dan diusung lagi. Milo pun tak sempat minum, diorang nak saya cepat-cepat dibawa ke wad 4B.


Bila dah sampai wad 4B, barulah saya rasa dapat berehat dengan tenang. Baby saya memang terus diletakkan di wad kanak-kanak, jadi saya ambil peluang ini untuk menenangkan diri saya dan berehat sebanyak yang mungkin. Masa tu dah pukul 5.00 am, ada pulak mak guard meround dan 'halau' Suami saya keluar.


Untuk mereka yang belum pernah bermalam di wad di HSI ni, saya nak bagitau, mak guard kat hospital ni memang kerek berdisiplin sikit. Diorang betul-betul ikut waktu melawat, kalau ada pelawat bersama pesakit pada masa bukan waktu melawat, habis dihalaunya keluar. Diorang ni tak peduli yang pesakit tu baru lepas bersalin ke apa ke, dihalaunya juga pelawat tu. Macam saya, pukul 5.00 am saya masuk kat wad 4B. Saya lapar, nak minum milo, nak makan roti, memang langsung tak boleh bergerak, hanya baring sahaja. Saya perlukan Suami untuk buat semua tu, pastu ada beberapa perkara lah yang kami suami isteri nak bincang --> perancangan untuk hari itu dan lain-lain. Tapi tidak, dihalaunya juga Suami saya tu. Nasib baiklah kami ni dah masak sangat perangai mak guard kerek berdisiplin ni. Suami dah buat milo dan standby roti cepat-cepat untuk saya, dah letakkan handphone dekat dengan tangan saya, dah aturkan semua barang agar semuanya within my reach. Takkanlah nak suruh nurse buat milo pulak kan....


Walaupun letih, saya tak mampu melelapkan mata, tak mampu nak tidur, hanya berbaring dalam keadaan antara sedar dan tidak...

Thursday, February 7, 2013

Bersalin Normal Atau Czer?

16 January 2013 (Rabu)


Tepat jam 12.25 am, saya sampai ke labour room. Sejuk sangat rasanya kat sini, nasib baik saya pakai stokin. Berulang kali nurse suruh saya tanggalkan stokin, katanya nanti kotor kena darah dan air ketuban, tapi saya tak peduli, saya nak pakai stokin jugak. Tak kisahla kotor ke apa ke, nak menahan sejuk aircond tu lagilah saya tak sanggup. (Saya kalah sikit dengan aircond dan cuaca sejuk).


Masuk je kat bilik ni, saya terus disuruh baring kat katil. Masa ni saya sendirian, suami belum sampai lagi, saya dah call suami sebelum keluar daripada wad 4A tadi, mungkin sekarang dia dalam perjalanan ke hospital agaknya. Saya tanggalkan cermin mata dan beri kepada nurse. Air selusuh pulak letak kat tepi. Nurse terus pasang CTG lagi kat saya. Kali ni rasa tak selesa dan sedikit menyakitkan sebab saya dah mula rasa contraction setiap 8 minit.


Tak lama lepas tu, satu doktor perempuan masuk. Dia cek bukaan masih 4 cm pastu dia keluar semula. Tak lama pastu, ada satu doktor lelaki masuk. Dia tengok rekod saya kat komputer. Setelah meneliti apa yang patut, doktor lelaki tu menghampiri saya,


"Siti, saya tengok rekod Siti ni, masih lagi 4 cm dari pagi tadi sampai sekarang..."

"Ye doktor. Ada masalah ke?"

"Macam ni, saya beri masa 4 jam kepada Siti bermula 12.30 am ni hingga 4.30 am nanti untuk Siti bersalin secara normal".

"4 jam? Maksudnya apa, saya tak faham".

"Begini, kalau ikut rekod, sampai sekarang tak ada progress, maksudnya serviks Siti tak membuka dan masih lagi 4 cm. Memandangkan Siti dah mula rasa sakit contraction, saya harap sakit tu makin lama makin kuat jadi ada progress, means serviks tu akan membuka sepenuhnya sehinggalah ke 10 cm. Untuk itu, saya beri masa selama 4 jam untuk progress tu berlaku. Tapi sekiranya sampai ke pukul 4.30 am nanti, bukaan serviks Siti masih juga 4 cm, Siti perlu bersalin secara czer, lagipun Siti dah overdue 4 hari, baby dah berak kat dalam. Kita khuatir baby akan makan najisnya sendiri ataupun air yang kotor tu masuk ke paru-paru dan affect pernafasan baby. Apapun kita harap, ada progress dan Siti dapat bersalin secara normal. Pada masa yang sama, saya dah arrange OT (operation theater) untuk czer".

"HAAAAA???!!!! CZER????!!!!!"

"Ye Siti. So sekarang Siti boleh call suami minta dia datang. Saya akan beri penerangan pada suami dan dia perlu tandatangan beri kebenaran untuk czer. So sekarang, saya keluar dulu. Apa-apa hal, Siti boleh panggil nurse ye".

"..........................................." (Saya diam, menahan air mata yang dah penuh bergenang kat mata ni...)


Saya dilanda ketakutan yang maha dahsyat, sehingga saya tak boleh mengawal diri daripada menangis. Ya Allah, saya sangat takut, sangat sedih. Serta-merta juga seluruh badan saya menggigil, menggigil sebab labour room tu dah sememangnya sejuk ditambah pula menggigil sebab takut kena czer.


Ya Allah, saya tak pernah bayangkan diri saya ni kena czer, saya tak tau czer tu macamana, sakit bersalin czer macamana,cara jaga macamana, cara pantang macamana,  bla bla bla. Satu hape pun saya tak tau pasal czer. Memang tak pernah google pun. Dan tiba-tiba malam ni, sendirian, saya kene bersedia untuk bersalin secara czer. Oh tidak, saya tak bersedia, saya takut, takut yang amat sangat. Ya Allah, tolonglah aku Ya Allah...


Dalam keadaan saya melayan perasaaan saya, doktor perempuan tu masuk semula dan dia pecahkan air ketuban. Serta merta saya rasa air mengalir laju hingga basah kain yang saya pakai.


Saya call suami berkali-kali tapi tak dapat. Hati saya semakin resah, saya tak boleh nak menenangkan diri. Di labour room sorang-sorang tu, saya menangis sekuat-kuat hati saya. Saya hanya mampu sms suami minta dia cepat datang sebab saya mungkin kena czer. Saya juga sms Mama beritahu perkara yang sama.


Dalam keadaan takut itu, saya dapat merasakan sakit contraction semakin kerap, setiap 2-3 minit. Sakitnya sangat kuat, jauh beza semasa saya sakit nak melahirkan Haziq dahulu. Tak lama lepas tu, saya nampak suami masuk labour room ni, hati saya terus rasa lemah longlai, saya terlalu perlukan suami saya. Saya rasa nak peluk dia, nak menangis dalam pelukan dia dan nak menyatakan betapa takutnya saya dengan apa yang akan terjadi kepada diri saya. Tapi saya tak mampu nak bangun, dengan CTG yang dipasang di badan saya, saya hanya mampu menghulurkan tangan minta dipeluk.


Saya terangkan kepada suami apa yang doktor cakap tadi, saya nampak riak wajah suami juga berubah. Tak sangka sampai kena czer. Dia juga takut tapi saya tahu dia cuba berlagak tenang seboleh mungkin di hadapan saya yang memang dah takut ni. Suami saya keluar berjumpa dengan doktor untuk meminta penjelasan dan katanya, ya, saya perlu bersedia untuk bersalin secara czer.


Ketakutan yang saya rasakan memaksa seluruh badan saya bekerja lebih keras. Sakit contraction makin lama makin kuat sehingga saya rasa tak mampu bertahan. Untuk mengurangkan sakit, saya mengiring ke kiri dan pegang tangan suami sekuat-kuatnya. Bila sakit tu datang, saya cuba amalkan teknik pernafasan yang sudah saya pelajari dan praktis berkali-kali, tapi kuasa Allah, oleh kerana saya terlalu takut dan sedih, saya tak dapat bernafas dengan tenang.  Ke laut semuanya.


Tuala yang saya standby, saya gigit sekuat-kuatnya sehingga berlaga gigi menahan sakit. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Tak cukup dengan gigit tuala, saya mencakar lengan suami saya. Tindakan refleks. Itu jelah yang boleh saya katakan. Ini gambar yang suami ambil lepas dia pulang ke rumah .


Sayang suamiku... kesian tengok lengannya dicakar oleh saya.
Tapi sungguh, sakit bersalin memang dahsyat!

Sampai satu masa, saya rasa nak terberak sangat (sori kalau perkataan ni kurang sopan, tapi saya nak menggambarkan perasaan sebenar yang saya rasai di labour room). Saya cakap kat nurse, saya rasa nak berak sangat-sangat. Tak tertahan lagi. Rasa macam nak meneran. Nurse tu cek bukaan dah 5 cm. Suami terus bagi semangat, dia cakap,


"Tahan ye sayang sikit lagi. Sekejap je lagi sampai 10 cm, boleh bersalin normal. Kuat ye sayang, kita kan nak tengok baby kita, lama dah kita tunggu dia kan".


Saya rasa sedikit bersemangat. Tapi sekejap je, pastu saya tak tahan sakit lagi. Nurse suruh saya sedut gas bila sakit contraction tu datang. Yes, it helped. Tapi sekejap tu jelah. Agak kelam kabut masa nak sedut gas tu sebab masa lahirkan Haziq dulu takde sedut-sedut gas ni.


Dalam keadaan sakit tu, mata saya tak berhenti tengok jam dinding yang dah memang kat depan mata. 1.00 am... 1.15 am... 1.30 am... 1.45 am... Rasa macam cepat sangat masa berlalu, rasa macam kejap lagi pukul 4.30 am dan saya akan dibedah!!! Tidak!!! Mulut saya tak henti-henti baca zikir yang diselangselikan dengan rintihan saya menahan sakit, menggigit tuala dan mencakar lengan suami. Tindakan yang tak boleh dikawal.


Sampai satu ketika, saya betul-betul rasa nak terberak. Nak terberak sangat-sangat. Rasa nak teran sangat-sangat. Rasa nak keluarkan baby ni sangat-sangat. Tak boleh tahan lagi. Saya cakaplah saya nak berak, nak berak sangat. Disebabkan dalam labour room tu cuma saya dan suami, saya suruh suami keluar pergi panggil nurse atau doktor sebab saya rasa nak teran sangat dan saya tak boleh tahan lagi. Suami terus keluar dan masuk semula dengan doktor lelaki tadi dan dua orang nurse.


Doktor tu cek..


"Dah 9 cm!!! Ok get ready!!!"


Saya nampak dengan sekelip mata bilik tu penuh dengan nurse, masing-masing ada tugas. Sorang tanggalkan belt mesin CTG tu, sorang selak kain saya, sorang buat itu ini macam-macam persiapan. Saya pulak, bila sakit, saya angkat punggung. Nurse cakap jangan angkat punggung tapi saya tak boleh. Terus dia pasang macam guard kat kaki saya (gantung kaki). Dan doktor terus bagi instruction untuk saya meneran.


"Ok Siti, bila rasa sakit lagi, terus teran, push it out ok"

"Ye push it out" (Apsal entah, saya dok ulang apa yang doktor dan nurse cakap, fikiran dah rasa nak melayang...)

"B, b kene kuat ye sayang, b teran ikut apa yang kita dah praktis banyak kali, teran macam nak berak, teran kat bawah, jangan teran kat atas, nanti b penat. teran macam yang Abg ajar ye sayang"

"Ye, teran kat bawah jangan teran kat atas...." (Fikiranku melayang)...


Cubaan kali pertama meneran, saya meneran kat bawah dan panjang, nafas panjang. Saya dengar doktor dan nurse semua cakap,


"Ye, bagus Siti, pandai Siti teran, very good, ok lepas ni teran lagi, panjang-panjang ye. Saya dah nampak kepala baby ni" (Doktor cakap).


Bila dengar macam tu, saya rasa lebih bersemangat.


"Bagus, b dah pandai teran, b pandai, lagi sikit ye sayang, nanti baby kuar" (Suami saya cakap)


Kali kedua saya meneran, saya rasa tak larat, seolah-olah tenaga saya sudah habis akibat menahan sakit contraction tadi. Rasa macam nak surrender, doktor, czer jelah saya. Tapi saya teruskan jugak  dan saya rasa zappp...ye saya dapat rasa pisau menghiris bahagian bawah saya (episiotomi) dan saya rasa licin (badan baby).


"Siti, Siti memang pandai teran, bagus, ok Siti lagi sikit, lagi sikit teran, baby dah tak sabar nak tengok Siti ni"


Kali ketiga saya meneran, saya push out semuanya, dan saya rasa licin zusssssss, saya tau itu badan baby saya.


Selesai!!!! Dan saya rasa letih, letih sangat serta pening kepala. Dalam keadaan mamai tu, saya nampak doktor tunjuk baby kat saya tapi saya tak larat nak hulur tangan kat baby. Doktor / nurse terus bawa baby keluar dan saya terus pejamkan mata sebab saya terlalu letih. Saya dapat rasa suami cium dahi saya berulang kali. Saya rasa selesa dengan ciuman itu dan ia menenangkan saya serba sedikit.



***



Ketakutan mendengarkan diri ini akan diczer membuatkan sakit contraction semakin kuat dan kerap. Ye, saya akui saya memang tak tahan sakit, dapat bersalin normal adalah kejayaan besar bagi diri saya, Alhamdullilah. Saya bersyukur kerana dapat bersalin normal, Allah tau saya mungkin tak kuat untuk menanggung sakit bersalin czer.


Hanya dalam masa 2 jam, saya akhirnya bersalin normal pada pukul 2.52 am. Sekiranya saya melepasi tahap 4 jam yang dijangkakan oleh doktor, mungkin saya akan diczer. Huhuhu...


Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Terima kasih ya Allah, kerana menguatkan jiwaku dalam menghadapi sakit bersalin serta memanjangkan umurku dan anakku. Ya Rahman... Ya Rahim....


Allahu Akbar!!!

Tuesday, February 5, 2013

Contraction Sudah Bermula

15 January 2013 (Selasa)

Kat Wad 4A, saya ditempatkan di bed 19.

Bed 19, Wad 4A, HSI

Lepas je saya baring kat katil, nurse terus datang pasang CTG kat saya. CTG ni maksudnya Cardiotocograph, sejenis mesin yang digunakan untuk monitor degupan jantung baby dan juga contraction dan proses untuk monitor ni dipanggil Cardiotocography.


Nurse pasang 2 jenis belt kat bahagian perut/rahim saya, satu untuk monitor degupan jantung baby dan satu lagi untuk monitor kekerapan contraction saya. Proses ni tak silap saya mengambil masa 15 minit. Sesudah itu, saya diberitahu bahawa degupan jantung baby adalah 146 degupan / minit, yang mana ianya adalah normal (normal antara 110 ke 160 degupan / minit).


Kekerapan contraction saya pula adalah 1 kali contraction dalam masa 15 minit. Mmm...saya tak rasa langsung ada contraction. Pelik betullah, kenapalah kali ini saya memang tak rasa sakit, atau saya dah jadi kurang peka?


Seharian saya duduk kat wad 4A ni, bosan sungguh rasanya. Keje saya cuma tido, jaga, tido, jaga, makan, sebab tak plan nak masuk hospital kan. Dalam pukul 3.15 pm, saya dah mula rasa sakit contraction 1 kali dalam tempoh 10 minit. Mmm..baguslah sebab dah ada progress walaupun sikit.


Pukul 3.30 pm, doktor datang ke katil saya dan cek perut saya ni, dia estimate berat baby dalam 2.83 kg. Dalam hati saya, macamana pulak dia boleh estimate dengan begitu accurate nombor tu dengan hanya pegang perut ni? Saya tak percaya lah, tapi saya diamkan aje. Doktor cakap dia dah booked labour room untuk saya, katanya saya belum boleh masuk ke labour room sebab room tu penuh.


Waktu melawat kat HSI ni dari pukul 12.30 pm ke 2.00 pm dan 4.30 pm ke 7.00 pm. Suami saya setia datang menjenguk isterinya yang dah keboringan sorang-sorang di hospital. Kami berbual seperti biasa, bincang tentang barang-barang keperluan di hospital dan persediaan ke labour room nanti. Suami saya berulang kali mengingatkan saya tentang teknik meneran yang betul dan juga mengingatkan saya agar banyakkan bertenang dan kuatkan semangat. Kami siap praktis lagi cara-cara meneran supaya senang nak meneran nanti. Untuk makluman, suami saya lagi pandai tentang teknik meneran daripada saya. Hahahaha... Tepat pukul 7.00 pm, suami saya balik ke rumah.


Pukul 9.37 pm, saya dah mula rasa sakit setiap 8-10 minit. Sakit tu bermula dari pinggang belakang ni bawa ke perut terus ke bawah. Tapi saya masih boleh bertahan, saya tak beritahu nurse lagi. Saya teruskan minum air zam zam dan air selusuh.


Pukul 10.56 pm, sakit makin kuat. Saya berterusan sms dengan suami. Dia cakap dia standby kat rumah. Tak tido, dah pakai siap-siap tunggu panggilan dari saya dan dia akan terus bergerak ke hospital. Haziq pula dah dihantar ke rumah babysitter siang tadi. Haziq tido kat rumah babysitter bermula malam ni hinggalah saya bersalin nanti.


Pukul 11.56 pm, saya langsung tak boleh nak lelapkan mata. Ye, sakit contraction mula 'mengganas'. Saya terus beritahu nurse, dia suruh saya masuk ke satu bilik untuk dia cek bukaan serviks saya. Saya sempat fikir, eh, nurse pon boleh cek ke? Saya ingat doktor aje yang buat cek-cek ni. Tapi sebab dah sakit sangat, saya terus baring jelah.


Disebabkan nurse yang buat, oh ye, ia memang menyakitkan. Berbeza dengan doktor pelatih atau Datuk Dr. buat pagi tadi. Dahlah nurse tu cek lama, sakit, muka dia pun tak konfiden je nak bagitau saya bukaan serviks dah berapa cm. Sabau jelah. Last-last dia cakap, masih 4 cm. Saya terkedu. Saya cakap, saya dah tak tahan sakit, saya nak masuk labour room sekarang jugak. Then nurse terus buat arrangement untuk masukkan saya ke labour room, saya dibawa naik wheel chair.


Barang-barang saya kat wad saya tinggalkan macam tu je. Barang pun cuma beg baju dan bakul. Nurse akan buat tag nama kat barang-barang tu dan akan bagi pada suami saya nanti. Barang personal macam handbag saya dah bagi kat suami masa dia balik rumah pukul 7.00 pm tadi. Saya cuma bawa hp, tuala kecil dan air selusuh masuk ke labour room.


Sepanjang perjalanan ke labour room, saya cuba tenangkan diri. Ye, contraction sudah bermula, sakit ini yang saya tunggu selama ini dan sekarang ia telah datang. Dalam masa beberapa jam lagi, saya akan 'berperang' dengan sakit, saya mesti kuat untuk lahirkan anak saya. Kuat, kuat, kuat - saya cakap pada diri saya sendiri.


La ila ha illa anta subhanaka innni kuntu minazzolimiin...


Ya Allah, permudahkan urusanku, bukakanlah jalanku...selamatkanlah aku dan anakku...Amin...

Monday, February 4, 2013

Lepas Check Up Terus Masuk Wad

Sambungan daripada kisah ini.


15 January 2013 (Selasa)

Hari ni bangun pagi terus rasa segar dan bersemangat. Apa taknya, nak pergi cek kat HSI, apa cerita saya yang dah overdue tapi belum ada tanda nak bersalin ni. Lepas sembahyang Subuh, saya bersiap-siap dan sempatlah minum secawan milo.


Pukul 8.00 pagi, saya, suami dan Mama bergerak ke HSI. Dah sampai sana, tup-tup saya rasa laparlah pulak, so suami pergi beli sandwic sardin untuk saya. Saya sorang je yang makan. Lepas tu kami bertiga terus pergi ke Tingkat 4 Bilik Saringan. Kat sini, doktor dan nurse akan buat saringan (cek bukaan serviks) untuk menentukan sama ada seseorang tu perlu terus dibawa ke labour room, perlu dimasukkan ke wad dulu atau perlu balik ke rumah dulu.


Lama jugaklah kami tunggu, dalam 20 minit sebab ada 2-3 orang yang datang sebelum tu. Saya ada nampak sorang ni, muka dia berkerut-kerut menahan sakit, mesti sakit contraction agaknya, dia terus dibenarkan masuk ke Bilik Saringan (BS) tanpa perlu daftar dulu. Saya seolah-olah termangu bila tengok dia, sebab saya langsung takda rasa sakit contraction pun.


Bila dah siap daftar, saya pun masuklah ke BS. Tengok-tengok ada 6 orang lagi yang menunggu. Saya pun duduklah kat kerusi yang disediakan, saya orang ketujuh, jenuhlah lagi nak menunggu. Tengah tunggu tu, saya dengar doktor dan nurse macam bising-bising, rupanya orang yang tadi saya tengok menahan sakit tu, bukaan serviksnya dah 8 cm jadi dia terus dikejarkan ke labour room. Saya agak mesti paling lama setengah jam ke satu jam dia akan bersalin.


Lepas tu, doktor panggil nama saya suruh baring kat katil 3 dan buka panty. Masa ni saya dah berdebar sebab tau kena seluk. Walaupun dah ada pengalaman diseluk masa first pregnancy dulu, saya tetap ada rasa nervous. Yang cek saya pulak doktor pelatih, biaselah tu kat HSI ni memang raaaaaaaaaaaaaaaaaamai doktor pelatih.


Rupanya dah 4 cm 1 cm. Apa tu? Maksudnya bukaan serviks dah 4 cm dan ketebalan dinding serviks tu 1 cm. Untuk melahirkan anak secara normal, serviks harus membuka sehingga 10 cm dan ketebalan dinding serviks pula harus menipis sehingga 0 cm. Berapa lama nak sampai ke 10 cm 0 cm tu? Haaa....itu berbeza mengikut individu ye.


Saya ingatkan dah habis di situ. Rupanya datang pulak ketua jabatan O&G, Datuk Dr. apa entah nama dia saya dah lupa. Dia round setiap katil yang ada kat BS tu, termasuklah katil saya. Lepas doktor pelatih tu dah brief pasal saya kat Datuk tu, Datuk tu cakap,


"Maaf ye Puan, saya akan cek sekali lagi. Maaf ye kalau Puan rasa tak selesa".

"Haa? Cek lagi? Tadi salah cek ke?"

"Tadi doktor pelatih yang cek. Saya perlu confirmkan lagi sekali. Maaf ye Puan".

"......... ok........"


Alahai, dahlah saya tak suka seluk menyeluk ni, kena pulak seluk kali kedua. Sabau jelah. Bila Datuk tu cek, ye memang betul 4 cm 1 cm jugak. Dia terus arahkan agar saya dimasukkan ke wad, lagipun saya dah overdue 4 hari.


Turun je dari katil, nurse bagi saya persalinan pinky (baju butang depan dan kain pink) sebab saya kena masuk wad. Yang paling kelakar, saya disorong naik wheel chair pergi ke Wad 4A (wad ini untuk ibu yang belum bersalin). Saya nak je cakap kat nurse, yang saya ni tak sakit, elok lagi boleh jalan macam biasa dan tak payahlah naik wheel chair, tapi pikir-pikir balik, alah biarlah.


Keluar dari BS, Mama terkejut tengok saya berwheel chair bagai dan pakai baju hospital. Saya cakap dah buka 4 cm. Mama pun cakap Alhamdulillah, so sekarang tunggu progress je lah.


Ok, ini dia pemandangan dari katil saya di Wad 4A.

Wad 4A HSI

Sayang, Selamat Datang ke Pangkuan Mama dan Abah

Sekian lama saya menyepi daripada dunia blogging, menyepi sebab pergi bersalin! :)


Alhamdulillah, yang dinanti telah tiba.


Sayang, Selamat Datang ke Pangkuan Mama & Abah...


Nur Aimi Aqilah
Date of Birth : 16 January 2013
Time : 2.52 am
Weight : 3.01 kg
Length : 49 cm
HSI, JB

Banyak perkara yang nak diceritakan, yang nak dicoret untuk kenangan di kemudian hari. Namun, masa tak begitu mengizinkan, masa berpantang bukan masa untuk bersuka ria kan, kena berdisiplin menjaga diri sendiri dan anak tersayang agar cepat sembuh.


Apapun, saya akan cuba "mencuri" sedikit masa untuk berkongsi kisah bersalin dan berpantang saya kali ini. Tungguuuuuu....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Like Page Superb Vitamin For Life :)

Like Page Love Natuwrel :)

Hubungi Saya

Name

Email *

Message *